REFLEKSI

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam satu Malaysia......

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T kerana telah diberikan peluang dan kesempatan untuk menyiapkan laman sesawang bagi kursus BMM3053 : Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer. Ucapan ribuan terima kasih juga saya tujukan kepada pensyarah pembimbing BMM3053 iaitu Encik Mohd. Firdaus Bin Abd. Salam kerana telah banyak membantu, membimbing dan menegur saya sepanjang porses saya menyiapkan laman sesawang ini. Tidak lupa juga rakan-rakan sekelas saya yang sudi untuk berkongsi idea dan buah fikiran yang sangat-sangat membantu saya untuk menyiapkan laman sesawang ini. Jasa dan sumbangan anda semua sememangnya banyak membantu saya dan tidak akan saya lupai.

Secara umumnya kursus BMM3053 adalah kursus yang mendedahkan guru pelatih mengenai kegunaan dan fungsi teknologi komputer yang dapat membantu pengajaran dan pembelajaran guru di dalam kelas. Seperti yang kita sedia maklum teknologi komputer merupakan satu teknologi yang sangat menarik untuk dipelajari dan dikuasai. Hal ini kerana, apabila kita menguasai teknologi komputer sepenuhnya kita akan dapat menghasilkan sesuatu bahan yang menarik dan berguna untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kita khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Oleh itu, bagi mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di dalam bilik kuliah, saya telah diberikan tugasan untuk menghasilkan sebuah laman sesawang bagi menunjukkan sejauh manakah pemahaman dan kemahiran saya dalam teknologi komputer ini. Selain itu, saya juga dikehendaki untuk memasukkan bahan-bahan yang diperoleh daripada internet dan boleh digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Bagi merumuskan hasil pembelajaran saya dalam kursus BMM3053 ini, saya akan menceritakan serba sedikit pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya dapat sepanjang mengikuti kursus ini dari minggu pertama hingga minggu kelima.

MINGGU PERTAMA (23 hingga 27 JUN 2014)

Pada minggu pertama, arahan tugasan amali yang perlu saya laksanakan ialah mencari 60 - 70 bahan-bahan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian seperti Google, Yahoo dan sebagainya yang perlu disimpan dalam bentuk alamat internet, fail internet dan katalog internet. Melalui tugasan secara amali ini, banyak perkara yang saya pelajari antaranya ialah saya boleh menggunakan enjin carian dengan betul untuk mencari maklumat dan bahan yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Melalui Maklumat dan bahan yang diperoleh ini, saya yakin bahawa bahan tersebut boleh membantu saya semasa mengajar nanti sama ada sebagai bahan bantu mengajar (BBM) ataupun sebagai persediaan sebelum memulakan pengajaran. 

Untuk melaksanakan tugasan ini sememangnya memberikan tekanan emosi kepada  saya kerana saya perlu mencari 60 - 70 bahan yang berkaitan atau boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Tekanan mula terasa apabila saya mula kehabisan idea untuk mencari maklumat atau bahan yang berkaitan dengan Bahasa Melayu. Bagi mengatasi hal ini, saya telah berkolaborasi dan meminta pandangan daripada rakan-rakan sekuliah saya mengenai bahan-bahan yang perlu dicari dan sesuai untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Secara keseluruhannya, dalam minggu pertama ini banyak maklumat dan bahan yang saya peroleh untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Walaupun tertekan untuk mencari bahan dan maklumat, saya percaya semua ini akan membantu dan menyenangkan saya sewaktu mengajar Bahasa Melayu kelak.

MINGGU KEDUA (30 Jun 2014 – 04 Julai 2014)

Pada minggu kedua, arahan tugasan amali yang perlu saya laksanakan ialah mencari dan memilih bahan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menggunakan enjin carian di internet seperti Google, Yahoo, Youtube, dan sebagainya. Selain itu, saya perlu mengkategorikan bahan-bahan tersebut kepada kemahiran lisan, membaca dan menulis. Bagi setiap kemahiran tersebut, bahan-bahan berbentuk teks, grafik, audio, dan video mestilah dikumpulkan dalam satu folder yang berlainan bagi setiap kemahiran. Bagi melaksanakan tugasan amali ini, sesi kolaborasi telah diadakan bersama pensyarah pembimbing BMM3053 bagi mengenalpasti bahan-bahan yang sesuai untuk setiap kemahiran. 

Hasil daripada kolaborasi ini ialah dalam kemahiran lisan tiga jenis bahan ini harus dicari iaitu bahan berbentuk grafik, audio dan video. Seperti yang kita sedia maklum, dalam kemahiran lisan aspek mendengar dan bertutur amat dititikberatkan. Justeru, bahan-bahan yang berbentuk grafik, audio dan video sebenarnya membantu dan akan menggalakkan murid-murid untuk mendengar dan bertutur. Dalam kemahiran membaca pula, bahan-bahan berbentuk teks dan video merupakan bahan yang paling sesuai untuk meningkatkan kemahiran membaca murid. Bagi kemahiran menulis pula, keempat-empat jenis bahan iaitu teks, grafik, audio dan video boleh digunakan dalam kemahiran menulis. 

Dalam melaksanakan tugas ini, terdapat beberapa masalah yang menyebabkan pelaksanaan tugasan amali ini sedikit terjejas. Sistem wayarles yang lambat merupakan masalah utama dalam menyelesaikan masalah ini. Disebabkan masalah ini juga saya tidak dapat memuat turun bahan-bahan berbentuk audio dan video. Oleh itu, bagi mengatasai masalah ini penggunaan jalur lebar merupakan jalan penyelesaian yang terbaik.

Melalui tugasan amali ini, banyak manfaat yang saya peroleh terutamanya dalam pengumpulan bahan-bahan yang boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Kesemua bahan yang dikumpul adalah mengikut kategori kemahiran bahasa iaitu lisan, membaca dan menulis dan dalam setiap kemahiran tersebut bahan -bahan yang dicari diasingkan mengikut jenis iaitu bahan berbentuk teks, grafik, audio dan video. Oleh yang demikian, apabila saya menjalani latihan mengajar nanti saya boleh menggunakan bahan-bahan yang telah saya cari ini untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.

MINGGU KETIGA (07 – 11 Julai 2014)

Pada minggu ketiga, tugasan amali yang perlu saya laksanakan ialah mencari dan memuat turun bahan yang mengandungi Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet. Setelah itu, saya dikehendaki untuk memindahkan maklumat yang saya peroleh itu ke dalam bentuk brosur dan Power Point yang tidak melebihi daripada 15 slaid. Bagi melaksanakan tugasan amali, ini saya telah menggunakan enjin carian google untuk mencari maklumat yang berkaitan Garis Panduan dan Etika Penggunaan Internet.

Dalam pelaksanaan tugasan ini saya telah merujuk surat-surat Pekeliling yang berkaitan dengan Garis Panduan iaitu Tatacara Penggunaan Internet dan Mel Elektronik di Agensi-Agensi Kerajaan. Melalui analisis saya terhadap garis panduan tersebut saya dapat mengetahui bahawa internet merupakan infrastruktur saluran global dan merupakan punca maklumat yang tidak terkawal. Oleh sebab itu, ketepatan maklumat internet tidak dapat ditentukan. Justeru, sebagai penjawat awam kita perlu memainkan peranan dan perlu bertindak secara bijak menilai kesahihan, ketepatan dan kesesuaian sesuatu maklumat yang diperolehi agar kerja yang dilaksanakan tidak menyimpang dari tujuan sebenar jabatan.

Selain itu, saya juga dapat mengetahui bahawa penggunaan internet dengan cara yang tidak bertanggungjawab adalah dianggap sebagai pelanggaran tatacara yang boleh mengancam keselamatan, keutuhan dan kerahsiaan maklumat, melemahkan sistem ICT dan pengurusan rekod elektronik, mengganggu sistem rangkaian ICT dan merosakkan imej Perkhidmatan Awam. Oleh yang demikian, bagi menjamin kemudahan internet digunakan dengan selamat, adalah wajar setiap agensi menentukan latihan yang bersesuaian, penggunaan teknologi yang kukuh dan dasar yang menyeluruh agar pelanggaran seumpamanya tidak berlaku.

Melalui pelaksanaan tugasan amali ini, terdapat tiga ilmu atau kemahiran yang saya pelajari iaitu ilmu mengenai tatacara dan etika penggunaan internet, kemahiran menggunanakan aplikasi Power point, dan kemahiran membuat brosur menggunakan aplikasi Microsoft Office Publisher 2010. Bagi saya, sebagai seorang pelajar dan bakal penjawat awam, ilmu mengenai tatacara dan etika penggunaan internet harus diketahui supaya penyelewengan dan penyalahgunaan internet tidak berlaku. Di samping itu, tugasan ini juga dapat mengukuhkan kemahiran saya dalam menggunakan perisian Power Point dan membuat brosur menggunakan perisian Microsoft Office Publisher 2010. Justeru, tugasan amali ini sangat wajar dipelajari kerana selain memberikan kita kemahiran memindahkan maklumat ke dalam bentuk Power Point dan brosur kita juga dapat mengetahui tatacara dan etika penggunaan internet. 

MINGGU KEEMPAT (14 – 18 Julai 2014)

Bahan pengajaran dan pembelajaran kini boleh diperolehi bukan hanya daripada buku-buku teks malah ia boleh didapati daripada bahan-bahan internet yang merupakan salah satu sumber yang besar dalam meyumbangkan bahan-bahan pengajaran. Hal ini kerana kita boleh mendapatkan bahan-bahan daripada negeri dan negara lain sebagai rujukan juga sebagai bahan bantu mengajar untuk kita gunakan dalam proses P&P terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
Pemilihan bahan internet untuk P&P Bahasa Melayu ini sering dipilih bagi pemilihan seperti berikut:

• Bahan sastera
• Bahan tatabahasa
• Bahan bidang ilmu lain

Bahan tatabahasa yang saya pilih ialah video sedutan dari filem Melayu lama iaitu ‘Bawang Putih, Bawang Merah – Ikan Kaloi’. Video tersebut diedit menggunakan perisian ‘Wondershare’ dan membuat penambahan seperti lirik, transition dan sebagainya. Berdasarkan aspek pendidikan, sebelum guru-guru menggunakan bahan-bahan sumber dari internet, sama ada untuk pengajaran dan pembelajaran secara langsung di bilik darjah atau sekadar sebagai bahan bantu mengajar yang telah terlebih dahulu dimuat turun, proses penilaian dan pemilihan perlu dilakukan. Hal ini perlu dilakukan supaya bahan sumber yang digunakan itu benar-benar membantu proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara ini bagi mengelakkan timbulnya kesan negatif yang tidak dikehendaki atau djangka kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

MINGGU KELIMA (21 – 25 Julai 2014)

Pada minggu kelima, tugasan amali yang perlu saya lakukan ialah menghasilkan satu tapak dan laman web pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Dalam melaksanakan tugasan ini, segala ilmu yang telah dipelajari pada minggu pertama sehingga minggu kelima akan diaplikasikan dan digunakan untuk menyiapkan tugasan minggu kelima ini.

Bagi membuat tapak atau pakej pembelajaran, perisian yang perlu digunakan ialah perisian Power Point dan proses pelaksanaannya bermula daripada set induksi disusuli dengan langkah satu, langkah dua, langkah tiga, penutup dan latihan. Bahan ini dibina seakan-akan menyerupai Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan yang membezakannya ialah segala maklumat atau aktiviti yang dijalankan dimasukkan ke dalam perisian Power Point. Untuk membina pakej pembelajaran, semua elemen-elemen berikut mesti ada iaitu teks, grafik, audio, video dan animasi. Bagi saya, gabungan elemen-elemen ini akan menjadikan pakej pembelajaran yang dihasilkan lebih menarik dan bersifat interaktif. Di samping itu, sebuah pakej pembelajaran juga mesti merangkumi semua kemahiran bahasa iaitu lisan, membaca dan menulis. Sebuah pakej pembelajaran yang bermakna dapat ditentukan apabila bahan tersebut boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan boleh menarik perhatian murid-murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran guru.

Dalam menghasilkan pakej pembelajaran ini, langkah awal saya ialah menentukan tajuk, hasil pembelajran, objektif pembelajaran dan menentukan aktiviti-aktiviti bagi setiap kemahiran bahasa. Setelah menyediakan draf-draf yang diperlukan saya mula membuat pakej pembelajaran menggunakan perisian Power Point. Tidak dapat saya nafikan disini bahawa wujudnya banyak masalah semasa membina pakej pembelajaran ini. Salah satu masalah besar yang saya hadapi ialah sistem komputer saya yang lambat menyebabkan penghasilan pakej pembelajaran ini terhenti-henti dan menghalang saya untuk menyiapkannya mengikut jangka masa yang telah ditentukan. Selain itu, saya juga menghadapi kesukaran untuk menentukan video-video yang perlu dimasukkan ke dalam pakej pembelajaran ini. Bagi menyelesaikan masalah ini, saya telah berkolaborasi dengan rakan-rakan mengenai aspek keberkesanan sesebuah video itu dan impaknya kepada suatu sesi pengajaran dan pembelajaran.

            Sepanjang saya menghasilkan pakej pembelajaran ini, banyak ilmu dan pengalaman yang dapat saya timba. Salah satu daripadanya ialah saya dapat menghasilkan video hasil kerja tangan saya sendiri dengan menggunakan perisian Movie Maker. Walaupun video yang saya hasilkan itu tidak sehebat video-video yang lain namun, saya yakin bahawa video tersebut dapat digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, saya juga berpeluang merancang dan menyediakan aktiviti-aktiviti bagi setiap kemahiran bahasa dan saya yakin aktiviti-aktiviti tersebut mampu meningkatkan kemahiran bahasa murid-murid.

Pada minggu kelima ini juga, saya perlu membina satu laman web pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BMM3053) iaitu laman sesawang yang sedang anda layari sekarang ini. Bagi membina sesebuah laman sesawang, saya perlu menentukan jenis laman sesawang yang hendak digunakan sama ada menggunakan www.blogspot.com, www.weebly.com dan sebagainya. Untuk membina laman sesawang ini, saya telah menggunakan www.blogspot.com kerana laman ini lebih menarik, bersifat interaktif dan mudah untuk dibina dan diselenggarakan. Dalam laman sesawang ini juga, saya dikehendaki untuk memasukkan bahan-bahan yang telah dikumpul dari minggu pertama sehinggalah minggu kelima untuk dikongsikan kepada para pelayar dan pembaca di internet khususnya kepada guru-guru Bahasa Melayu.

Melalui pembinaan laman sesawang ini, saya dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskan sesebuah laman sesawang yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Pada pendapat saya, laman sesawang yang ditadbir dengan baik bukan sahaja dapat menarik ramai pembaca tetapi juga dapat memberikan sesuatu input yang berguna kepada para pembaca. Oleh itu, untuk menghasilkan sebuah laman sesawang yang menarik dan penuh dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai murni saya telah memastikan bahawa bahan-bahan yang dimuat naik kedalam laman sesawang ini menepati cita rasa dan keperluan pembaca dan pelayar-pelayar internet. Selain itu, saya juga menekankan aspek penggunaan bahasa baku digunakan dengan betul dan terdapat juga penggunaan bahasa Inggeris tetapi telah saya condongkan hurufnya bagi memudahkan pemahaman pembaca. 

Untuk menuai hasil yang baik, rintangan dan masalah yang mencabar harus dilalui terlebih dahulu. Begitu juga dengan penghasilan laman sesawang ini, pelbagai masalah dan rintangan yang harus ditempuhi. Antara masalah tersebut ialah sistem wayarles yang lambat merupakan masalah nombor satu di samping halangan untuk melayari laman sesawang yang saya kira mempunyai banyak bahan dan maklumat yang boleh digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran seperti www.youtube.com. Langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini hanyalah dengan menggunakan rangkaian jalur lebar yang semakin mendapat tempat di hati pelayar-pelayar internet di seluruh dunia. Walaupun wujudnya banyak masalah, itu bukanlah satu alasan bagi saya untuk tidak melakukan yang terbaik dalam membina laman sesawang ini. Sifat sabar dan tidak mudah berputus asa adalah kunci saya untuk menyiapkan laman sesawang ini dan saya berharap para pembaca berpuas hati dengan kandungan-kandungan yang telah saya muat naik dalam laman ini. 

Secara keseluruhannya, tugasan amali dari minggu pertama hingga minggu kelima merupakan tugasan yang banyak memberikan manfaat kepada saya. Selain itu, pelaksanaan tugasan tersebut juga membantu saya untuk meningkatkan kemahiran dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Sperti yang kita sedia maklum teknologi komputer sangat membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh itu, wajarlah kursus BMM3053 diajar kepada guru-guru pelatih opsyen Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Guru seluruh Malaysia. Saya percaya dan yakin bahawa ilmu mengenai pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer ini akan membantu guru-guru supaya dapat melaksanakan satu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang berkesan dan menarik kepada murid-murid dalam keadaan dunia global yang serba canggih dari segi Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini. Sesungguhnya, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh guru-guru untuk membawa generasi  muda ini ke arah merealisasikan matlamat negara iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020.

No comments:

Post a Comment