Friday, 29 August 2014

Apakah Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer???

Pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer merupakan satu kaedah pengajaran yang disampaikan menggunakan gabungan antara komputer, pakej perisian, sistem talian dalam mengakses kemudahan internet. Penggunaan kaedah ini terutama dalam menyampaikan pengajaran dengan lebih mudah dan afektif memerlukan penggunaan aplikasi perisian komputer, mengakses maklumat melalui internet dan aplikasi persembahan elektronik seperti perisian “Powerpoint”. Aplikasi komputer ini penting untuk tujuan menyampaikan persembahan dengan lebih menarik dan berkesan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan perisian pengajaran dan pembelajaran yang berbantukan komputer berkemampuan mempersembahkan maklumat dengan menarik serta menyimpan dan mengawal maklumat dengan baik.Tambahan kini perisian komputer dapat berinteraksi secara terus kepada pengguna. Kecanggihan penggunaan komputer ini mendatangkan kebaikan dan keburukan jika tidak diaplikasi secara berkesan.

Kaedah pengajaran berbantukan komputer ini hanyalah merupakan suatu bahan bantu kepada guru dan tidak merubah fungsi guru di dalam kelas. Komputer yang digunakan sebagai bahan bantu dalam pengajaran bahasa perlu digunakan secara terancang dan pelbagai aspek hendaklah diteliti dan diambil kira untuk mencapai cita-cita murni yang diharapkan. Pengajaran berbantukan komputer perlu digunakan secara terancang dan kesesuaian perlu diteliti agar dapat meningkatkan penguasaan kemahiran komputer dan kemahiran berbahasa berbantukan komputer.